Saturday, October 27, 2007

Bahagian 1: Trust No One!

Politikus hingusan? Siapa tu? Hehe. Akulah politikus hingusan tu. Siapa lagi kalau bukan aku yang comel ini. Umur aku kan baru 29 tahun. Bukankah hingusan namanya tu? Hikhik. Walaupun aku tidaklah sepenuhnya berkecimpung dalam dunia politik, tetapi penyertaan sebahagian besar ahli keluarga dalam bidang politik, secara tidak langsung mencambahkan sedikit minat di dalam diriku untuk mengikuti perkembangan politik tanah air, khususnya di negeri Sabah.
.....
Aku juga menjadi pengunjung setia kepada laman web karut, carut, cabuk, lucu, juga menjengkelkan: Malaysia Kini. Dalam masa yang sama, aku juga merupakan seorang pengirim komen yang aktif di laman web tersebut, dengan menggunakan dua nama samaran. Satu yang bermula dengan huruf ‘A’ dan satu lagi yang bermula dengan huruf ‘P’.
.....
Kepada yang mengenaliku, mereka pasti tahu, komen-komen bagaimanakah yang aku kirimkan ke atas entri-entri pada laman web itu. Semestinya, komen-komen yang aku kirimkan lebih bersifat positif, mempertahankan dan adakalanya di atas pagar. Aku bukanlah duri dalam daging, musuh dalam selimut atau api di dalam sekam kepada mana-mana ahli politik.
.....
Menjadi seorang pemerhati politik yang kerdil membolehkan aku melihat dunia politik daripada pelbagai sudut. Hal ini berbeza jika aku pro kepada mana-mana pihak. Pro kepada mana-mana parti atau pihak-pihak tertentu menjadikan kita cenderung melihat segala apa yang dilakukan oleh parti/pihak yang kita sokong sebagai betul, baik dan mantap (walaupun apa yang dilakukan itu salah, buruk lagi menjijikkan), dan menutup mata ke atas segala kebaikan yang dilakukan oleh pihak lawan. Ini hakikat! Anda jangan berusaha untuk menafikannya. Hikhik.
.....
Menjadi seorang pemerhati politik yang kerdil juga membolehkan aku berfikir secara rasional dan menimbang sesuatu perkara itu sama ada buruk ataupun baik. Nampaknya, sekarang ini semua pihak berlumba-lumba untuk memenangi hati rakyat. Tidak kiralah sama ada yang berada dalam pihak kerajaan, mahupun pihak pembangkang.
.....
Pada saat-saat begini, sukar untuk kita mempercayai siapa kawan dan siapa lawan. Kita juga tidak boleh mempercayai apa yang kita lihat di sekeliling kita. Di sini aku berikan satu analogi mudah:
.....
Anda dari Parti X masuk ke kampung-kampung untuk memberikan ceramah politik. Kebiasaannya, anda pasti akan mendedahkan kepincangan pihak lawan anda, sama ada kepincangan itu betul atau yang sengaja anda ada-adakan untuk memburukkan pihak lawan. Masyarakat di kampung itu pasti akan menunjukkan kesedihan, lalu melafazkan sumpah setia untuk menyokong anda, dan mengenepikan pihak lawan. Kalau anda tambah lagi dengan suapan RM kepada penduduk di kawasan itu, mereka seboleh-bolehnya mahu melutut kepada anda dan bersumpah akan menyokong parti anda.
.....
Kemudian, datang pula parti lawan (Parti Y) ke tempat yang sama. Mereka tetap menyambut parti lawan dengan senyuman yang lebar sampai ke telinga, macam Mickey Mouse. Parti Y melakukan hal yang sama seperti anda. Penduduk di situ juga menunjukkan keadaan yang sama seperti ketika Parti X datang berceramah ke tempat itu. Semua bersedih, semua marah-marah, semua bersumpah setia mahu menyokong Parti Y.
.....
Parti Z pula tidak berceramah. Sebaliknya hanya membuat kunjungan biasa ke tempat itu. Mansau-mansau saja bah, kata orang Sabah.
.....
Ketika pilihan raya, diisytiharkan Parti Z menang. Maka, tertonggeng-tonggenglah Parti X dan Y menahan kekecewaan. Buang air liur dan duit saja.
.....
Mengapa itu terjadi? Kerana, menjelang pilihan raya, ramai yang akan jadi pelakon. Kalah pelakon-pelakon handalan dunia. Ramai yang akan jadi talam si dua muka. Maka, anda pun tertipu dengan lakonan penduduk kampung. Dan, boleh jadi juga penduduk kampung tertipu dengan lakonan si wakil rakyat yang telah berjaya dipilih itu (sebab, selepas sahaja pilihan raya wakil rakyat itu menyepi tanpa berita).
.....
Jadi, apa kesimpulannya di sini? Kesimpulannya, menjelang pilihan raya ini, anda tidak boleh mempercayai sesiapa walau hanya 50%. Juga, jangan percaya kepada apa yang anda rasa, dengar mahupun lihat di hadapan mata anda. Trust No One! Percaya 10% saja cukuplah. Anda hanya perlu percaya kepada diri anda, rezeki dan takdir yang Allah tentukan. Jika Allah menginginkan anda dan parti anda memenangi pilihan raya, maka menanglah anda. Jika bukan rezeki anda, walau apa jua cara sekalipun, kemenangan itu tidak akan berpihak kepada anda.

.....
(Nota Sisipan: Alangkah indahnya dunia ini jika semua manusia boleh berlapang dada)

9 comments:

Anonymous said...

ini la yg dikatakn kecil2 cili padi.pngalaman bnyk mndewasakanmu nak.uncle setuju dgn artikelmu ini.

Puteri Ezza said...

Hikhik. Sekarang sudah tidak kecil lagilah uncle. Sudah gemuk sekarang ni. Kena tukar ungkapan tu: Gemuk-gemuk lada sihat. Hikhik.

Benar uncle, pengalaman banyak mendewasakan saya. Saya pernah berusaha menjadi seorang pendendam, tetapi saya tidak mampu.

Rajin-rajinlah bertandang ke sini lagi ya, uncle.

Anonymous said...

pertandingan mesti di padang yang rata.

Anonymous said...

Welcome on board sis...kalau pi Melaka bulele kita buka kedai kopi kat umah uncle kakak...hey untie punya cream puff dan puff sardine sedap giler...itu pasal aku gemuk.

Anonymous said...

Ya, betul kata anonymous itu. Tapi, pertandingan boleh juga diadakan di padang yang tidak rata, hatta di lautan sekalipun. Terpulang kepada sesiapa yang menganjur. Sesiapa sahaja yang terlibat sebagai peserta seharusnya bersedia menghadapi apa jua keadaan. Bak kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan. Pihak yang berjaya boleh dinobatkan sebagai pihak yang hebat. Ya, mungkin hebat di mata manusia sahaja. Pada pandanganNya pula bagaimana?

Anonymous said...

Kak Mar,

Terima kasih kerana sudi bertandang :-) Ala, gemuk pun tak mengapa. Yang penting sihat. Lagipun orang kata, orang gemuk ni rezekinya berkat. Semuanya jadi isi dan lemak kat badan :-)

Anonymous said...

Ko buek mesyuarat tingkapla senang nak beborak, lates update..amacam pelihan raya umum akan datang tak mau turun sini ka?

Pak cik akak dah uzurlah, nak harapkan makcik, makcik dia kalu pak cik tak bergerak dia tak akan bergerak sama.

Anonymous said...

Puteri,

ada perkara yg tuhan telah tetapkan cara perlaksanaanya dan ada juga yang tuhan serahkan pada kebijaksanaan manusia untuk melaksanakannya. Pertandingan apapun adalah urusan sesama manusia, namun harus bertanggungjawab pada tuhan.

tempat untuk perlawanan harus sesuai dengan jenis pertandingan. Penganjur tidak boleh ikut bermain apatah lagi menyebelahi sesuatu pasukan. Penganjur jugalah menentukan tarikh pertandingan bukan pasukan yang ikut bertanding.

Anonymous said...

Kak Mar,

Mesyuarat tingkat ada kat tepi blog (sebelah kanan). Kalau nak sembang kat situ pun boleh :-)

Anonymous

Wah, idea dan kata-kata yang sungguh baik/mantap daripada saudara/i. Terima kasih banyak. Ya, saya akui kebenaran kata-kata anda :-)