Wednesday, February 13, 2008

Marilah Mari Pergi Mengundi

Bahang pilihan raya sudah mula terasa. Seluruh rakyat Malaysia sudah mula membicarakannya sejak sebulan dua yang lalu. Kini, ia lebih hangat diperkatakan, lebih-lebih lagi apabila kedengaran khabar-khabar angin bahawa Pilihan Raya Umum Malaysia akan berlangsung dalam masa yang terdekat.
.
Bukan setakat di kedai-kedai kopi, di pejabat-pejabat mahupun di stesen-stesen bas, malah di rumahku sendiri, ahli keluarga sibuk membicarakan akan perkara ini. Menyusun strategi agaknya. Hehe.
.
Ada juga pihak yang mula membuat andaian awal, parti manakah yang akan memenangi kerusi ADUN dan Parlimen secara majoriti, khususnya di negeri Sabah ini. Parti-parti komponen Barisan Nasional kah? Parti Keadilan Rakyat kah? PAS kah? Parti-parti pembangkang yang lain kah?
.
Pada kali ini, aku ingin mengajak anda semua membuat andaian awal tentang parti manakah yang akan memenangi pilihan raya untuk Negeri Sabah. Siapakah yang patut menang? Dan, jika anda mahu, anda boleh menitipkan komen pada ruangan di bawah, mengapa parti yang anda pilih patut menang.
.
Inilah peluang untuk anda dari negeri-negeri lain, negara-negara lain membuang undi untuk Negeri Sabah. Hehe. ..
.
Marilah mari, kita mengundi...
.
Peti Undi Puteri Ezza

Parti manakah yang akan memenangi Pilihan Raya Umum Malaysia (Negeri Sabah) 2008?
Parti-parti Komponen Barisan Nasional
Parti Keadilan Rakyat
Parti Islam SeMalaysia
Parti-parti pembangkang yang lain
Sukar untuk diduga
Results

.

Lima (5) Orang Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Parlimen yang sedia ada di Negeri Sabah yang diharap akan kekal bertanding dalam Pilihan Raya Umum 2008:

  1. YB Datuk Seri Salleh Tun Said Keruak
  2. YB Haji Mohd. Ariffin Mohd. Arif
  3. YB Datuk (Datu) Amir Kahar Tun Datu Mustapha
  4. YB Datuk Seri Panglima Jospeh Pairin Kitingan
  5. YB Datuk Liew Yun Fah

Sunday, October 28, 2007

Bahagian 2: Kegagalan Menunaikan Janji Kepada Keluarga Bukti Anda Tidak Layak Bergelar Wakil Rakyat atau Pemimpin.

Perhatian kepada semua yang berhasrat mahu bergelar wakil rakyat atau pemimpin-pemimpin politik. Jika anda ingin berjaya dalam dunia politik, anda seharusnya telah berjaya menunaikan janji-janji kecil terhadap ahli keluarga mahupun orang-orang yang terdekat dengan anda. Cuba anda ingat kembali, pernahkah anda berjanji dengan mereka? Sejak bila anda lafazkan janji itu? Sudahkah anda menunaikannya?

Jika janji kecil terhadap ahli keluarga tidak mampu anda tunaikan, inikan pula janji-janji besar yang anda taburkan kepada rakyat. Maka, jika anda adalah si pemungkir janji, saya dengan ini mengisytiharkan bahawa anda tidak layak walau sedikit pun untuk bergelar wakil rakyat atau pemimpin, kerana anda telah gagal melalui ujian yang kecil ini.

Ini bukan gurauan. Sekadar satu peringatan.

(Nota sisipan: Jangan berjanji jika tidak pasti mampu menunaikannya atau tidak)

Saturday, October 27, 2007

Bahagian 1: Trust No One!

Politikus hingusan? Siapa tu? Hehe. Akulah politikus hingusan tu. Siapa lagi kalau bukan aku yang comel ini. Umur aku kan baru 29 tahun. Bukankah hingusan namanya tu? Hikhik. Walaupun aku tidaklah sepenuhnya berkecimpung dalam dunia politik, tetapi penyertaan sebahagian besar ahli keluarga dalam bidang politik, secara tidak langsung mencambahkan sedikit minat di dalam diriku untuk mengikuti perkembangan politik tanah air, khususnya di negeri Sabah.
.....
Aku juga menjadi pengunjung setia kepada laman web karut, carut, cabuk, lucu, juga menjengkelkan: Malaysia Kini. Dalam masa yang sama, aku juga merupakan seorang pengirim komen yang aktif di laman web tersebut, dengan menggunakan dua nama samaran. Satu yang bermula dengan huruf ‘A’ dan satu lagi yang bermula dengan huruf ‘P’.
.....
Kepada yang mengenaliku, mereka pasti tahu, komen-komen bagaimanakah yang aku kirimkan ke atas entri-entri pada laman web itu. Semestinya, komen-komen yang aku kirimkan lebih bersifat positif, mempertahankan dan adakalanya di atas pagar. Aku bukanlah duri dalam daging, musuh dalam selimut atau api di dalam sekam kepada mana-mana ahli politik.
.....
Menjadi seorang pemerhati politik yang kerdil membolehkan aku melihat dunia politik daripada pelbagai sudut. Hal ini berbeza jika aku pro kepada mana-mana pihak. Pro kepada mana-mana parti atau pihak-pihak tertentu menjadikan kita cenderung melihat segala apa yang dilakukan oleh parti/pihak yang kita sokong sebagai betul, baik dan mantap (walaupun apa yang dilakukan itu salah, buruk lagi menjijikkan), dan menutup mata ke atas segala kebaikan yang dilakukan oleh pihak lawan. Ini hakikat! Anda jangan berusaha untuk menafikannya. Hikhik.
.....
Menjadi seorang pemerhati politik yang kerdil juga membolehkan aku berfikir secara rasional dan menimbang sesuatu perkara itu sama ada buruk ataupun baik. Nampaknya, sekarang ini semua pihak berlumba-lumba untuk memenangi hati rakyat. Tidak kiralah sama ada yang berada dalam pihak kerajaan, mahupun pihak pembangkang.
.....
Pada saat-saat begini, sukar untuk kita mempercayai siapa kawan dan siapa lawan. Kita juga tidak boleh mempercayai apa yang kita lihat di sekeliling kita. Di sini aku berikan satu analogi mudah:
.....
Anda dari Parti X masuk ke kampung-kampung untuk memberikan ceramah politik. Kebiasaannya, anda pasti akan mendedahkan kepincangan pihak lawan anda, sama ada kepincangan itu betul atau yang sengaja anda ada-adakan untuk memburukkan pihak lawan. Masyarakat di kampung itu pasti akan menunjukkan kesedihan, lalu melafazkan sumpah setia untuk menyokong anda, dan mengenepikan pihak lawan. Kalau anda tambah lagi dengan suapan RM kepada penduduk di kawasan itu, mereka seboleh-bolehnya mahu melutut kepada anda dan bersumpah akan menyokong parti anda.
.....
Kemudian, datang pula parti lawan (Parti Y) ke tempat yang sama. Mereka tetap menyambut parti lawan dengan senyuman yang lebar sampai ke telinga, macam Mickey Mouse. Parti Y melakukan hal yang sama seperti anda. Penduduk di situ juga menunjukkan keadaan yang sama seperti ketika Parti X datang berceramah ke tempat itu. Semua bersedih, semua marah-marah, semua bersumpah setia mahu menyokong Parti Y.
.....
Parti Z pula tidak berceramah. Sebaliknya hanya membuat kunjungan biasa ke tempat itu. Mansau-mansau saja bah, kata orang Sabah.
.....
Ketika pilihan raya, diisytiharkan Parti Z menang. Maka, tertonggeng-tonggenglah Parti X dan Y menahan kekecewaan. Buang air liur dan duit saja.
.....
Mengapa itu terjadi? Kerana, menjelang pilihan raya, ramai yang akan jadi pelakon. Kalah pelakon-pelakon handalan dunia. Ramai yang akan jadi talam si dua muka. Maka, anda pun tertipu dengan lakonan penduduk kampung. Dan, boleh jadi juga penduduk kampung tertipu dengan lakonan si wakil rakyat yang telah berjaya dipilih itu (sebab, selepas sahaja pilihan raya wakil rakyat itu menyepi tanpa berita).
.....
Jadi, apa kesimpulannya di sini? Kesimpulannya, menjelang pilihan raya ini, anda tidak boleh mempercayai sesiapa walau hanya 50%. Juga, jangan percaya kepada apa yang anda rasa, dengar mahupun lihat di hadapan mata anda. Trust No One! Percaya 10% saja cukuplah. Anda hanya perlu percaya kepada diri anda, rezeki dan takdir yang Allah tentukan. Jika Allah menginginkan anda dan parti anda memenangi pilihan raya, maka menanglah anda. Jika bukan rezeki anda, walau apa jua cara sekalipun, kemenangan itu tidak akan berpihak kepada anda.

.....
(Nota Sisipan: Alangkah indahnya dunia ini jika semua manusia boleh berlapang dada)